Jumaat, 23 Disember 2011

POLITIK ISLAM ADA FEQAHNYA

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)
Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.
Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.
Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.
Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.
PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ
(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.
Khadam Perjuangan Islam
PRESIDEN PAS

http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=362:politik-islam-ada-feqahnya&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56

Rabu, 7 Disember 2011

TOLONG MELAYU, UMNO SEPERTI PENCURI MENJERIT PENCURI

Umno berjaya mengalih isu kegagalan mereka selama ini membela Melayu di negara ini. Sebaliknya peluru dihalakan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP yang dianggap menyebabkan orang Melayu tertinggal ke belakang.

Persidangan Agung Umno telah menjadi pesta memaki hamun terhadap pimpinan Pakatan Rakyat supaya perwakilan tidak membincang masalah cincin RM24 juta, projek lembu RM250 juta kepada suami Shahrizat, masalah Datin Seri Rosmah, kepincangan laporan audit negara. Semua isu ini berjaya didiamkan apabila perwakilan  dicandukan dengan serangan kepada Pakatan Rakyat.

Bermula daripada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri Umno sehinggalah kepada perbahasan perwakilan semuanya membelasah Pakatan Rakyat. Mereka memahami bahawa Umno perlukan undi melayu sahaja, undi bukan Melayu mereka tidak mengharapkan lagi.
Persidangan Agung Umno cuba memutar belitkan fakta kononnya Melayu ketinggalan semuanya angkara DAP. Persoalannya DAP baru sahaja memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac 2008. Siapa yang memerintah Pulau Pinang selama ini? Tindakan Umno menjerit orang lain yang mengkhianat orang Melayu seperti pencuri menjerit pencuri. 

Dibawah ini disenaraikan pegkhianatan Umno kepada orang Melayu sebagai “tazkirah” untuk pimpinan Umno yang mudah lupa.Siapa yang menghalau orang Melayu di di Kampung Plentong Tengah Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau pada 16/10/2009.

Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan seperti menyekat 118 projek di Kelantan sejak 1991 (Rancangan Malaysia Ke 6). Merompak royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan ini negeri majoriti Melayu.Siapa yang bertanggungjawab melesap saham  Bumiputera daripada RM52 bilion (1984), hanya tinggal RM2 bilion(2005)?

Siapa yang pernah menjual Syarikat BERNAS (Syarikat Beras Negara) dijual  kepada syarikat  Hong Kong Wan Tak  Co. Ltd sebanyak  31.36%. Umno melesap wang PPRT  sebanyak RM32 bilion,  Menterinya  Datuk Anuar Musa daripada Umno. Umno khianat kepada  pendidikan orang Melayu kerana mengajar Metematik dan Sains  dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003. Wang rakyat hangus hampir RM 5 bilion.Siapa yang menggadai tanah rezab Melayu  dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada  1.7 juta hektar (1995). Siapa yang bertanggungjawab terhadap 26,000 hektar  tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Piai Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM. Seluas 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang digadai oleh pemimpin Umno kepada YTL! ) Ini tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar berdekatan lebuhraya.

Ini hanya beberapa contoh sahaja, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin hopokrit yang menjerit bela Melayu di siang hari di PWTC, tetapi di malam hari merekalah yang berunding menggadai tanah Melayu.

Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Rabu, 28 September 2011

Memaknai Hubungan Ulama & Politik Menurut Perspektif Islam

Politik hari ini dapat didefinisikan dengan pelbagai cara. Bagaimanapun ia didefinisikan, satu hal sudah pasti bahawa politik menyangkut kaitan kekuasaan dan cara penggunaan kuasa. Politik juga berhubungan dengan cara dan proses pengelolaan pemerintah kepada sesuatu negara. Dalam sistem sekular, politik lebih didasarkan kepada politik Machiavellis. Machiavellis mengajarkan bahawa, (1) Kekerasan (violence), brutal dan kekejaman merupakan cara yang mustahak bagi seorang penguasa; (2) Penaklukan ke atas musuh-musuh politiknya dinilai sebagai puncak kebajikan (summum bonum); (3) Mentadbir urusan politik ibaratnya seseorang yang mampu mempermainkan binatang buas.

Sistem politik sekular memiliki konsep homo homini lupus (manusia menjadi serigala terhadap manusia yang lain). Fakta politik seperti inilah yang menjadikan sebahagian kalangan Muslim tertipu sehingga menyimpulkan bahwa politik itu kotor. Oleh dasar itulah lahirnya hujjah-hujjah Islam tidak mengenal bahkan tidak boleh mencampuri politik, Islam harus dipisahkan dari politik kerana Islam itu suci dan politik itu kotor. 

Selasa, 26 Julai 2011

Rakyat harap pada siapa untuk tegak keadilan

Kematian Allahyarham Baharudin Ahmad, 58 telah mengejutkan negara, lebih-lebih lagi dengan pendedahan pihak polis yang menyatakan bahawa arwah meninggal dengan tiga tulang rusuk dan giginya patah…  sedangkan pada awalnya polis juga mengeluarkan kenyataan bahawa arwah meninggal kerana serangan jantung.

Namun, menurut anak Allahyarham, Mohd Nasrul, keluarganya masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu sedangkan pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah.

Bukan itu sahaja, dalam menguatkan hujah mereka, polis telah memaparkan gambar 'Baharuddin' memegang dadanya semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu.

Kini, rakyat sedang bertanya –

“Kepada siapakah yang boleh diharapkan supaya keadilan dapat ditegakkan dalam kes seumpama mendiang Teoh Beng Hock, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mendiang A.Kugan dan yang terkini arwah Baharuddin?”

Nak mengadu pada pihak berkuasa, tetapi yang menyiasat juga ialah pihak berkuasa dan perkakas yang tidak berani melawannya.

Rakyat kini susah hendak menerima hasil siasatan pihak berkuasa, terutamanya apabila pihak berkuasa yang menerima aduan turut terpalit dalam kes-kes tertentu untuk menghukum mereka sendiri.

Paling hebat ditubuhkan Suruhanjaya Diraja – sekiranya satu hari nanti Suruhanjaya Diraja juga hilang kewibawaan, maka akan ditubuhkan Suruhanjaya Khas pula – lambat-laun segalanya gagal mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka menyedari hakikat yang terang lagi bersuluh bahawa semuanya telah dicemari dengan campur tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional di belakang takbir.

Bahkan, kerajaan boleh berusaha untuk mengubah nama institusi-institusi dengan pelbagai nama sekalipun, namun hakikatnya semua itu hanyalah perubahan komestik kerana realitinya sistem negara telah punah kerana ia dipimpin oleh Umno Barisan Nasional yang telah punah struktur asasnya.

Ia tidak lebih umpama bangunan yang telah dimamah anai-anai, walau kelihatan dari luarnya kukuh, sebenarnya ia hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Kepincangan serius ini menuntut sesuatu tindakan untuk dilakukan segera agar institusi-institusi yang disandar rakyat bagi menuntut keadilan dan hak mereka dapat terus diyakini.

Untuk itu, PAS mengingatkan rakyat bahawa keadilan hanya dapat diperolehi daripada satu sistem yang adil dengan syarat sistem yang adil tersebut dilaksana oleh pimpinan yang adil.

Diharapkan rakyat sudah bersiap sedia untuk melangkah ke arah perubahan tersebut di PRU ke 13 nanti.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, 25 Julai 2011

Memo bantah cabul hak mahasiswa catat sejarah

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa di Mesir kelmarin telah menjadi detik sejarah bagi memastikan hak mahasiswa tidak dicabul oleh mana-mana pihak.

Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), lapor laman web Media Mesir.

"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama Encik Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka.

"Sebelum ini juga Encik Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan,” katanya lagi.

Sabtu, 2 Julai 2011

Peludah Warna


Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

1. 7. 11. A. SAMAD SAID

Rabu, 22 Jun 2011

HUKUM DEMONSTRASI BERSIH 2.0: ANTARA FATWA MENGHARAM DAN MENGHARUSKAN

HUKUM DEMONSTRASI BERSIH 2.0: ANTARA FATWA MENGHARAM DAN MENGHARUSKAN.[1]

PENDAHULUAN
Ini adalah penulisan separa ilmiah untuk menjawab beberapa pandangan yang dirasakan kurang tepat tentang hukum berdemontrasi. Ia merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan beberapa NGO untuk mengadakan demontrasi yang dipanggil “BERSIH” untuk mencapai matlamat yang telah digariskan. Tulisan ini bertujuan sebagai bahan perbincangan dalaman yang masih terbuka kepada penambahbaikan bagi memantapkan lagi tulisan ini.

DEMONSTRASI
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi empat mentakrifkan demonstrasi seperti berikut:
1.       Penerangan, pera­ga­an dan lain-lain tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain.
2.       Tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.[2]
LATARBELAKANG BERSIH 2.0
1.       BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia.
2.       Hanya menerusi pilihanraya yang bebas dan adil sahajalah, rakyat Malaysia mampu untuk menentukan nasib mereka sendiri Malaysia dan mengharapkan mereka yang menjawat jawatan-jawatan awam untuk bertindak dengan pertanggungjawaban dan berkesan. Selagimana, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir golongan jahat dalam pemerintahan negara, maka selagi itulah harapan untuk mendaulatkan undang-undang, melindungi hak asasi manusia, mengadakan urus-tadbir kerajaan yang baik dan menggalakkan pembangunan rakyat yang berterusan/lestari akan terus tertakluk kepada budibicara ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Matlamat utama untuk menukar kerajaan hari ini adalah merupakan kunci ‘semak dan imbang’ dalam menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah.
3.       Adalah amat malang bagi Malaysia kerana walaupun sudah 49 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya yang bebas dan adil. Kesimpulan ini bukan sahaja dipersetujui oleh masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerhati antarabangsa, malah ia juga diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Selepas pilihanraya umum pada bulan Mac 2004 yang dihantui oleh pelbagai penyelewengan dan kontroversi yang jauh lebih serius daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, maka, beliau merasakan perlu dan setuju dengan tuntutan awam untuk menjalankan penyiasatan bebas. Namun, amat mengecewakan penyiasatan bebas tersebut akhirnya tidak dijalankan.
4.       Proses pengendalian pilihanraya yang tidak telus ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya persoalan terhadap kuasa mutlak badan pemerintah negara ini. Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita. Ini dapat dilihat pada negara-negara yang telah mengalaminya iaitu Thailand, Filipina dan Taiwan. Oleh yang demikian, BERSIH merasakan adalah perlu bagi semua rakyat Malaysia berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membawa perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihanraya yang mendatang. Justeru, kami mencadangkan agenda perubahan jangka-panjang dan tiga sasaran kerja dengan segera.

Matlamat Jangka Panjang

5.      Dalam masa jangka-panjang yang akan membatasi batas pilihanraya akan datang, BERSIH yakin dan percaya bahawa kelapan-lapan aspek ini perlu dikaji dan diperbaharui secara keseluruhannya:

A. Sistem pilihanraya
i. Adalah perlu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang tinggi antara undian rakyat dan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, dimana undi sebanyak 64% boleh diterjemahlkan kepada 91% kerusi bagi parti pemerintah. Ini adalah kerana berteraskan kepada prinsip asas ‘First-Past-The-Post’ atau ‘Yang-Pertama-Melepasi-Tiang’ dan juga manipulasi menerusi pembahagian kawasan pilihanraya yang bericirikan ‘agihan-timpang’ dan ‘curang’ atau ‘tipu-belit’;
ii. Adalah perlu untuk memperkenalkan satu sistem yang menyenaraikan semua perwakilan parti, supaya jumlah minima 30% perwakilan wanita di parlimen terjamin;
iii. Adalah perlu untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan dengan sistem pilihanraya yang lebih adil, termasuk memberikan ruang yang lebih kepada penglibatan wanita dan kelompok terpinggir dalam masyarakat.

Sabtu, 18 Jun 2011

Struktur Organisasi Sesi 2011-2013

Klik pada gambar untuk lebih jelas.

Khamis, 16 Jun 2011

Ketua-Ketua Cawangan Sesi 2011-2013

MTD Kempas

Taman Kobena
Hj Ishak bin Abdul Rahman
 
Denai
Ust Lotpe bin Md Lib
 
Taman Dahlia
Mohd Hir bin Yusof
Pejabat PAS Caw. Taman Dahlia
Jalan Dahlia 9,
Taman Dahlia, Tampoi.
Johor Bahru.

Kempas Lurah
Alias Abdullah
57, JALAN SAWA 4,
LURAH UTAMA,
KEMPAS,
81200 JOHOR BAHRU
NO TEL: 019-7426226 / 017-7077118

MTD Pengkalan Rinting

Wadi Hassan
Salleh bin Maharat
21, JALAN TAROM,
80100 JOHOR BAHRU
NO TEL: 019-7822447

Taman Timur
Mohd Roslan Salleh
 
Taman Perling
Za’aba bin Ibrahim
 
Kampung Pasir
Hj Mastri bin Kassim
10E, JALAN RAMBUTAN,
KG PASIR,
81200 JOHOR BAHRU
NO TEL: 07-2376482 / 016-7048035

Ahli Jawatankuasa Sesi 2011-2013

Pengerusi Tetap
Dr Ishak bin Abd Rahman
Timbalan Pengerusi Tetap: 
Che Kamal Azizi Muhamad
 Yang DiPertua 
(Lajnah Politik dan Pilihanraya)
Abdullah bin Ideris 

Timbalan Yang DiPertua 
(Lajnah Pengurusan Ahli dan Cawangan dan Teknolgi Maklumat & Komunikasi)
Dzulkifli bin Suleiman

Naib Yang DiPertua
(Lajnah Demokrasi & Mobilisasi)
Za’aba bin Ibrahim

Ketua Urusan Ulama
(Lajnah Tarbiah dan Perkaderan)
Ustaz Mohd Ariff bin Jasiman

Ketua Dewan Pemuda
Shamsul Anuar bin Har

Ketua Dewan Muslimat
Dr Sustyanti bt Yahaya Effendy

Ketua Penerangan
(Lajnah Penerangan dan Dakwah)
Mahamad Adzri bin Mad Daud

Setiausaha 
Zulkifle bin Salleh

Penolong Setiausaha 1
(Lajnah Pendidikan)
Ustaz Mohd Nor bin Abdullah  

Penolong Setiausaha 2
(Lajnah Dokumen dan Arkib)
Mohd Najib bin Zainee  

Pengarah Pilihanraya Kawasan 
(Lajnah Perpaduan Nasional)
Rahmatullah bin Abdul  

Bendahari 
(Lajnah Ekonomi dan Pengurusan Harta)
Mohd Khairi Iqbal bin Mustafa

Ahli Jawatankuasa Kerja
Suhaizan bin Kaiat

Fadzil bin Ahmad

Hanafi bin Mohd Sabali

Hamdan bin Jelani

Ramli bin Awang (Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar)

Abd Razak bin Ibrahim
 
Zurina Zulkifli
 
Jaferi bin Sulaiman
 
Raja Nassharudin bin Abd Kadir
 
Mohd Hir bin Yusof (Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan)
 
Alias bin Abdullah (Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar)
 
Ustaz Lotpe bin Md Lib
 
Hj Ishak bin Abdul Rahman
 
Salleh bin Maharat
 
Mohd Roslan Salleh
 
Hj Mastri bin Kassim
 
Siti Rosnah bin Suradi
 
Ismail bin Hanafiah

Pemeriksa Kira-Kira 1
Syed Najeeb Syed Jaffar

Pemeriksa Kira-kira 2
Mohd Nurul Izwan bin Anuar

Isnin, 25 April 2011

ANALISA KEPUTUSAN PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Shaharul Shafie

Berakhirnya musim ‘panas’ di Sarawak, kini beralih kepada teka-teki bilakah akan pula terjadinya musim ‘panas’ seluruh negara. Mungkinkah pilihanraya umum akan datang diadakan semasa musim panas di Malaysia? Seandainya di Malaysia ada musim panas atau summer sepertimana di negara-negara hemisfera utara, mungkin PRU diadakan pada bila-bila masa di antara bulan Jun sehingga Ogos tahun ini. Petandanya sudah sedikit nampak sepertimana di masa lalu, apabila guru-guru besar dan para pengetua menerima surat untuk menyegerakan apa-apa bentuk ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Maklumlah sekolah-sekolah kenalah ditutup beberapa hari bagi memberi peluang kepada penyediaan menjelang hari mengundi dan proses mengundi.

Bagi penulis, tidak kisahlah bilakah PRU13. Ini kerana penulis yakin perkara ini pastinya membuntukan pemikiran Perdana Menteri yang disayangi ramai, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Bukannya senang untuk Najib meletakkan tarikh atau tempoh lebih-lebih lagi melihat faktor ‘kemenangan’ di Sarawak yang mempunyai beberapa persoalan-persoalan yang tersirat di sebalik kemenangan itu. Selain faktor persepsi pengundi, yang turut memburukkan peluang BN di peringkat Pusat pastinya ialah untuk mengadakan pilihanraya sebelum keadaan ekonomi dunia memasuki fasa pra-gawat setelah lebih dua tahun berada di peringkat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil.

Kelemahan ekonomi mikro dan kadar pengangguran meningkat mampu terus menggugat BN

Pastinya kitaran ekonomi akan ada naik dan turunnya. Hanya bila-bila masanya graf ekonomi negara selaras dengan ekonomi dunia pasti kembali menunjukkan penguncupan. Apabila ini berlaku, kebanyakan kerajaan di dunia ini mampu tumbang jika pilihanraya diadakan semasa penguncupan ini berlaku. Di Malaysia, penguncupan ekonomi pastinya melibatkan para peniaga yang kebanyakannya terdiri dari kaum Cina. Meskipun kini makro ekonomi nampak bagus, boleh dikatakan 70 peratus kaum Cina sudah pun menolak kerajaan BN, bagaimana pula jika ekonomi semakin menguncup, lebih teruk lagilah sokongan kaum Cina kepada BN.

Pada PRU 1999, kemenangan BN di bawah mantan PM, Tun Mahathir Mohamad adalah disebabkan oleh kemampuan beliau mengemudi ekonomi negara menghadapi tempoh kemelesetan ekonomi ketika itu yang menyebabkan kaum Cina menyokongnya secara berpadu. Hanya pengundi Melayu yang dilihat beralih sokongan kepada parti pembangkang ketika itu seperti PAS dan PKN (nama dulu untuk PKR). Situasi Umno kehilangan undi Melayu itu jelas nampak apabila negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS sementara di Kedah Umno dan PAS hanya berselisih 2 kerusi dan PAS menawan banyak kerusi di dalam DUN Pahang serta Selangor.

Kini, isu sedunia yang turut melanda negara yang menyebabkan kejatuhan Tunisia dan Mesir serta mengganggu gugat kestabilan banyak negara Arab ialah isu pengangguran tegar. Di Malaysia meskipun makro ekonomi adalah baik, kini seramai 300,000 pemuda dan bekas pekerja yang terpaksa dihentikan bekerja oleh syarikat-syarikat yang mula menggunakan sistem automasi teknologi maklumat bagi mengurangkan keperluan kepada tenaga buruh Malaysia. Jumlah 300,000 ini kebanyakannya ialah pengganggur graduan Melayu yang kebanyakannya mengharapkan pekerjaan dan pastinya kemarahan mereka sukar dibendung dan mampu ditunjukkan di dalam bentuk kertas undi.

Pakatan mampu menambah sehingga 10 kerusi Parlimen dari Sarawak

Dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai ‘deposit tetap’ BN, kini ternyata sudah tidak lagi berikutan keputusan pilihanraya DUN Sarawak yang dilangsungkan dua hari lepas. Di negeri Sarawak, Dewan Rakyat memiliki 31 kerusi dan di Sabah pula 25 kerusi. Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi tersebut manakala selebihnya lagi iaitu 2 kerusi milik DAP. Melihat kepada keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak, ia memberikan gambaran jelas jika dilihat undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berpotensi besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Sarawak kepada DAP dan PKR dalam PRU nanti.

Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU 13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Manakala di bawah Parlimen Sibu, dari 3 kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis. Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR) di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperolehi oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.

Parlimen Sibu boleh dirampas BN jika ada perpindahan pengundi Bumiputera Islam?

Kita menjangkakan BN boleh kembali merampas Sibu jika persempadanan semula dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melibatkan kerusi DUN Dalat di bawah Parlimen Mukah yang bersebelahan dengan Parlimen Sibu dengan DUN Nangka yang kebanyakannya pengundi Melayu. Jika SPR dapat melakukan strategi persempadanan ataupun perpindahan pengundi dengan memasukkan sedikit kawasan DUN Dalat yang juga bermajoriti Melayu-Melanau sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 pengundi ke dalam DUN Nangka di bawah Sibu, pastinya BN mampu merampas Sibu semula walaupun dengan majoriti yang kecil. Selain DUN Dalat, satu lagi DUN di bawah Parlimen Mukah ialah DUN Balingian yang ditandingi sendiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud. Oleh itu, dengan penjelasan yang diberikan penulis mengenai strategi yang mungkin dilakukan oleh SPR sebelum PRU akan datang, semoga PR perlulah mula berhati-hati dan mengambil perhatian.

Walaupun DAP berhadapan kemungkinan kehilangan Sibu berdasarkan trend pengundian dua hari lepas, di dalam PRU akan datang, DAP masih boleh meningkatkan usaha bagi merampas Bawang Assan atau menutup jurang majoriti. Setiausaha Agung SUPP, Datuk Wong Soon Koh menewaskan calon DAP, Alice Lau dengan majoriti 1,808 pada PRN minggu lepas berbanding dengan majoriti beliau perolehi sebanyak 2,504 semasa PRN 2006. Apa yang penulis andaikan di sini ialah mengambil konsep penjumlahan kesemua kerusi DUN di bawah sesuatu kerusi Parlimen bagi membayangkan kemungkinan di dalam PRU akan datang. Namun begitu, andaian begini tidak semestinya benar kerana setiap pengundi berhak memilih calon masing-masing yang mungkin berbeza parti di dalam setiap kertas undi DUN dan Parlimen. Memang tidak dinafikan, ramai pengundi yang memilih parti-parti yang lain di setiap kertas undi DUN dan Parlimen tetapi majoritinya lebih memilih parti yang sama mewakili mereka sama ada di Parlimen mahupun di DUN terutamanya di Sarawak. Namun begitu. kaedah penjumlahan ini adalah satu bentuk kaedah ramalan yang boleh difikirkan sebagai perancangan dan juga amaran bagi menyediakan pelan bertindak.

Lima kerusi parlimen Sarawak dalam tangan DAP sahaja

Rabu, 9 Mac 2011

ISLAM SEDERHANA: Ajaran baru UMNO


Terkejut saya apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang saya sifatkan sangat tidak manis terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika berada di Turki baru-baru ini.
Menurut laman web National Review Online, Perdana Menteri itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bernada kesal dengan keterlibatan Ikhwanul Muslimin dengan protes mendesak pengunduran Hosni Mubarak di Mesir yang disifatkan oleh beliau berunsur violence and extremism (keganasan dan berfahaman melampau).
Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan. Di antara ayat-ayat kurang manis dalam laporan tersebut ialah :
Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism”(kebimbangan berasaskan kepada sokongan Qaradawi dan justifikasi yang diberikan beliau terhadap keganasan).
Saya kira Perdana Menteri itu sudah lupa langit ‘tinggi-rendah’ sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, lawatannya ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ. Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam. Hari ini Perdana Menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia. Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru UMNO.


Jumaat, 18 Februari 2011

Dilema Melayu kerana tolak Islam

Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990 adalah tercatat dalam sejarah. Hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat. Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?

Kita sedang menyambut maulud Nabi Muhammad SAW maka kita sepatutnya mengambil ajaran Nabi, iaitu mengajar kita menjalin persaudaraan dan berkasih sayang. Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita.

Bila sebut kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam. Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam, kerana inginkan kepentingan yang sama. Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat.

Islam meletakkan asas, iaitu masing-masingnya tidak boleh dendam kesumat dan dengki mendengki. Inilah kelebihan Islam yang tidak mengajar kita menghina satu-satu bangsa. Malah Islam tidak membenarkan berlaku hina-menghina antara darjat satu-satu bangsa. Termasuklah si-kaya tidak boleh menghina si-miskin, kerana si-kaya adalah saudara dengan si-miskin.

Demikian pula, semangat persaudaraan dan tolong-menolong merupakan ajaran Islam yang menjamin kehidupan manusia, tidak kira bangsa apa sekalipun agar hidup dengan aman dan damai. Justeru semangat ini dipakai di dalam solat berjemaah. Dalam kaedah solat berjemaah, setiap orang tidak kira Melayu, Cina atau India asalkan Muslim, ia tetap layak atau boleh menjadi Imam solat jemaah. Hatta dalam masyarakat yang majoriti Melayu sekalipun, sesiapa sahaja boleh jadi Imam, tidak kira apa bangsa sama ada Cina atau India asalkan layak.

Demikian lagi di dalam ajaran Islam, sesiapa sahaja yang datang awal untuk solat berjemaah, maka dia boleh duduk (masuk) di saf depan. Ia tidak mensyaratkan semestinya bangsa Melayu sahaja boleh duduk di saf itu. Hal yang sama diajar oleh Islam, iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi khatib (berkhutbah) tidak kira apa bangsa sekalipun. Apa yang penting seseorang itu boleh berkhutbah dengan memenuhi rukunnya seperti boleh baca al-Quran dan hadis serta berpesan-pesan dengan keimanan dan ketakwaan. Hal ini membuktikan kebaikan ajaran Islam dan cara-cara bagaimana Islam meletakkan titik persamaan antara bangsa-bangsa di dunia ini berasaskan prinsip kenal-mengenal dan bersatu padu serta ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita semua (al-Quran surah Hujurat ayat 13):

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).
Justeru itu tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam. Apa yang penting diamalkan ialah kita semua menjadi hamba abdi kepada Allah SWT. Sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar” maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India. Sementara di dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini. Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan di dalam kehidupan manusia.

Jumaat, 7 Januari 2011

Jangan berasa lemah, PAS boleh menang

Aziz Muda (HARAKAHDAILY)  
KUALA LUMPUR, 7 Jan: "Jangan sebut kalah, jangan lemahkan semangat kami, kita mahu menang", begitulah luahan anak-anak muda jentera PAS apabila berbicara tentang pilihanraya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini.
Kata-kata spontan itu keluar dari mulut mereka menunjukkan semangat untuk memastikan PAS menang pada pilihan raya kecil itu nanti.


"Setiap pertandingan memerlukan kemenangan. Jika kita sudah tahu kalah, buat apa kita masuki pertandingan itu?" begitulah luahan seorang pemuda yang tinggal di Hulu Selangor, Khalid Hashim, 43, yang telah berkunjung ke Tenang bersama beberapa orang rakannya baru-baru ini.


Kata-kata penuh semangat itu, kemudiannya disokong oleh kawan-kawannya. Antaranya, Hashim, 33, dan Johari, 48, dengan menambah, "Jadi jika ditanyakan bolehkah kita menang? Jawapannya tentulah boleh," katanya.


Mereka menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menang. Semangat mereka jangan sekali-kali dilemahkan.


Menyelami lubuk hati, semangat, pemikiran dan penghayatan mereka, PAS sememangnya mempunyai peluang untuk menang, jika usaha-usaha tepat ke arah itu dilakukan dan dengan cara yang berkesan.


Penglibatan PAS dalam sebarang pertandingan dalam pilihanraya tentunya untuk menang. Namun kemenangan yang ingin dinikmati oleh PAS tentunya dengan cara bersih, tidak seperti Umno BN yang sanggup menggunakan pelbagai taktik kotor termasuk menabur fitnah, peras ugut, penyelewengan kuasa dan sebagainya.


Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, dalam kenyataannya menegaskan, kawasan Dun Tenang sebahagiannya diliputi tiga buah Felda iaitu Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang.


Malangnya ketiga-tiga Felda itu, meskipun antara kawasan Felda yang terawal di Johor, namun paling mundur berbanding 317 Felda lain di seluruh negara.


Katanya, sebahagian besar pengundi adalah golongan muda manakala generasi muda Felda pula kini semakin matang dan sedar mengenai hak mereka yang selama ini ditindas di bawah kerajaan Umno-BN.


“Peneroka di kawasan ini mengeluh terhadap keadaan sosio ekonomi terutama golongan muda, program kebajikan, rumah generasi kedua. Ini adalah isu-isu besar yang melanda mereka. Keadaan ini menyebabkan timbul kebimbangan pada BN kerana golongan muda ini telah mula sedar tentang hak mereka,” jelasnya.


Menurut perangkaan PRU Ke-12 tahun 2008, pengundi-pengundi di kawasan DUN Tenang terdiri daripada 48 peratus Melayu, 39 peratus Cina, 12 peratus India dan selebihnya lain-lain bangsa.


Statistik menunjukkan bahawa pengundi Cina telah menyokong pembangkang (PAS dan DAP) pada PRU Ke-12, memandangkan undi pembangkang mendahului BN di kawasan yang majoritinya Cina.


Pengundi Cina terletak di sekitar pekan Labis manakala pengundi Melayu terletak di tiga buah Felda iaitu Chempera, Chempera Barat dan Tenang. Pengundi Melayu juga terletak di kampung tradisi Melayu di sekeliling Labis.


Untuk menang dalam pilihanraya itu, PAS hanya perlu menawan hati penduduk di kawasan tiga buah Felda dan kampung tradisi Melayu itu sahaja, manakala DAP dan PKR boleh memberikan tumpuan kepada pengundi Cina dan India di kawasan pekan.


Tarikh & Waktu

Pengarah MTD

DUN Kempas
Zulkifli Saleh

DUN Pengkalan Rinting
Mohamad Roslan bin Salleh

Kongsi Bersama

Semakan Daftar Pemilih

Pengikut

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah