Isnin, 25 April 2011

ANALISA KEPUTUSAN PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Shaharul Shafie

Berakhirnya musim ‘panas’ di Sarawak, kini beralih kepada teka-teki bilakah akan pula terjadinya musim ‘panas’ seluruh negara. Mungkinkah pilihanraya umum akan datang diadakan semasa musim panas di Malaysia? Seandainya di Malaysia ada musim panas atau summer sepertimana di negara-negara hemisfera utara, mungkin PRU diadakan pada bila-bila masa di antara bulan Jun sehingga Ogos tahun ini. Petandanya sudah sedikit nampak sepertimana di masa lalu, apabila guru-guru besar dan para pengetua menerima surat untuk menyegerakan apa-apa bentuk ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Maklumlah sekolah-sekolah kenalah ditutup beberapa hari bagi memberi peluang kepada penyediaan menjelang hari mengundi dan proses mengundi.

Bagi penulis, tidak kisahlah bilakah PRU13. Ini kerana penulis yakin perkara ini pastinya membuntukan pemikiran Perdana Menteri yang disayangi ramai, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Bukannya senang untuk Najib meletakkan tarikh atau tempoh lebih-lebih lagi melihat faktor ‘kemenangan’ di Sarawak yang mempunyai beberapa persoalan-persoalan yang tersirat di sebalik kemenangan itu. Selain faktor persepsi pengundi, yang turut memburukkan peluang BN di peringkat Pusat pastinya ialah untuk mengadakan pilihanraya sebelum keadaan ekonomi dunia memasuki fasa pra-gawat setelah lebih dua tahun berada di peringkat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil.

Kelemahan ekonomi mikro dan kadar pengangguran meningkat mampu terus menggugat BN

Pastinya kitaran ekonomi akan ada naik dan turunnya. Hanya bila-bila masanya graf ekonomi negara selaras dengan ekonomi dunia pasti kembali menunjukkan penguncupan. Apabila ini berlaku, kebanyakan kerajaan di dunia ini mampu tumbang jika pilihanraya diadakan semasa penguncupan ini berlaku. Di Malaysia, penguncupan ekonomi pastinya melibatkan para peniaga yang kebanyakannya terdiri dari kaum Cina. Meskipun kini makro ekonomi nampak bagus, boleh dikatakan 70 peratus kaum Cina sudah pun menolak kerajaan BN, bagaimana pula jika ekonomi semakin menguncup, lebih teruk lagilah sokongan kaum Cina kepada BN.

Pada PRU 1999, kemenangan BN di bawah mantan PM, Tun Mahathir Mohamad adalah disebabkan oleh kemampuan beliau mengemudi ekonomi negara menghadapi tempoh kemelesetan ekonomi ketika itu yang menyebabkan kaum Cina menyokongnya secara berpadu. Hanya pengundi Melayu yang dilihat beralih sokongan kepada parti pembangkang ketika itu seperti PAS dan PKN (nama dulu untuk PKR). Situasi Umno kehilangan undi Melayu itu jelas nampak apabila negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS sementara di Kedah Umno dan PAS hanya berselisih 2 kerusi dan PAS menawan banyak kerusi di dalam DUN Pahang serta Selangor.

Kini, isu sedunia yang turut melanda negara yang menyebabkan kejatuhan Tunisia dan Mesir serta mengganggu gugat kestabilan banyak negara Arab ialah isu pengangguran tegar. Di Malaysia meskipun makro ekonomi adalah baik, kini seramai 300,000 pemuda dan bekas pekerja yang terpaksa dihentikan bekerja oleh syarikat-syarikat yang mula menggunakan sistem automasi teknologi maklumat bagi mengurangkan keperluan kepada tenaga buruh Malaysia. Jumlah 300,000 ini kebanyakannya ialah pengganggur graduan Melayu yang kebanyakannya mengharapkan pekerjaan dan pastinya kemarahan mereka sukar dibendung dan mampu ditunjukkan di dalam bentuk kertas undi.

Pakatan mampu menambah sehingga 10 kerusi Parlimen dari Sarawak

Dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai ‘deposit tetap’ BN, kini ternyata sudah tidak lagi berikutan keputusan pilihanraya DUN Sarawak yang dilangsungkan dua hari lepas. Di negeri Sarawak, Dewan Rakyat memiliki 31 kerusi dan di Sabah pula 25 kerusi. Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi tersebut manakala selebihnya lagi iaitu 2 kerusi milik DAP. Melihat kepada keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak, ia memberikan gambaran jelas jika dilihat undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berpotensi besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Sarawak kepada DAP dan PKR dalam PRU nanti.

Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU 13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Manakala di bawah Parlimen Sibu, dari 3 kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis. Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR) di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperolehi oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.

Parlimen Sibu boleh dirampas BN jika ada perpindahan pengundi Bumiputera Islam?

Kita menjangkakan BN boleh kembali merampas Sibu jika persempadanan semula dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melibatkan kerusi DUN Dalat di bawah Parlimen Mukah yang bersebelahan dengan Parlimen Sibu dengan DUN Nangka yang kebanyakannya pengundi Melayu. Jika SPR dapat melakukan strategi persempadanan ataupun perpindahan pengundi dengan memasukkan sedikit kawasan DUN Dalat yang juga bermajoriti Melayu-Melanau sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 pengundi ke dalam DUN Nangka di bawah Sibu, pastinya BN mampu merampas Sibu semula walaupun dengan majoriti yang kecil. Selain DUN Dalat, satu lagi DUN di bawah Parlimen Mukah ialah DUN Balingian yang ditandingi sendiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud. Oleh itu, dengan penjelasan yang diberikan penulis mengenai strategi yang mungkin dilakukan oleh SPR sebelum PRU akan datang, semoga PR perlulah mula berhati-hati dan mengambil perhatian.

Walaupun DAP berhadapan kemungkinan kehilangan Sibu berdasarkan trend pengundian dua hari lepas, di dalam PRU akan datang, DAP masih boleh meningkatkan usaha bagi merampas Bawang Assan atau menutup jurang majoriti. Setiausaha Agung SUPP, Datuk Wong Soon Koh menewaskan calon DAP, Alice Lau dengan majoriti 1,808 pada PRN minggu lepas berbanding dengan majoriti beliau perolehi sebanyak 2,504 semasa PRN 2006. Apa yang penulis andaikan di sini ialah mengambil konsep penjumlahan kesemua kerusi DUN di bawah sesuatu kerusi Parlimen bagi membayangkan kemungkinan di dalam PRU akan datang. Namun begitu, andaian begini tidak semestinya benar kerana setiap pengundi berhak memilih calon masing-masing yang mungkin berbeza parti di dalam setiap kertas undi DUN dan Parlimen. Memang tidak dinafikan, ramai pengundi yang memilih parti-parti yang lain di setiap kertas undi DUN dan Parlimen tetapi majoritinya lebih memilih parti yang sama mewakili mereka sama ada di Parlimen mahupun di DUN terutamanya di Sarawak. Namun begitu. kaedah penjumlahan ini adalah satu bentuk kaedah ramalan yang boleh difikirkan sebagai perancangan dan juga amaran bagi menyediakan pelan bertindak.

Lima kerusi parlimen Sarawak dalam tangan DAP sahaja

Tarikh & Waktu

Pengarah MTD

DUN Kempas
Zulkifli Saleh

DUN Pengkalan Rinting
Mohamad Roslan bin Salleh

Kongsi Bersama

Semakan Daftar Pemilih

Pengikut

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah