Pada hari Jumaat, 9hb. April, 2010 disiarkan kenyataan YAB Menteri Besar Johor di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan The New Straits Times berkaitan kedudukan kewangan JCorp dan Kerajaan Negeri dan menuduh parti pembangkang berniat amat jahat untuk meracuni pemikiran serta menakut-nakutkan rakyat Johor.
Sebenarnya YAB Menteri Besar Johor tidak memahami isu sebenar yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) Johor dalam “Kempen Selamatkan Johor”. Isu-isu pokok utama yang dibangkitkan adalah seperti berikut;
1. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, Kecairan Tunai Semasa (Liquidity Ratio) kerajaan Negeri Johor adalah rendah iaitu hanyalah RM 201.53 juta (Tunai RM36.37 juta & Pelaburan RM165.16 juta) berbanding dengan Tanggungan Semasa berjumlah RM 943.54 juta. Dengan kata lain jumlah Aset Semasa (tunai dan pelaburan) tidak dapat menampung jumlah Tanggungan Semasa. Sebagai perbandingan jumlah Aset Semasa (tunai dan pelaburan) Negeri Selangor adalah RM 1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM 1,025.89 juta. Jumlah ini jauh lebih banyak dari Negeri Johor. Keadaan ini menunjukkan bahawa urus tadbir kewangan Negeri Johor sangat lemah berbanding dengan negeri-negeri yang sebanding daripada segi ekonomi dan pembangunannya iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang kebetulan ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Bajet Negeri Johor 2010 Berjumlah RM785 juta @ RM65 juta sebulan. Dengan andaian tidak ada hasil atau pendapatan baru kepada kerajaan Negeri maka kerajaan Negeri Johor hanya boleh bertahan 3 bulan sahaja sebelum “MUFLIS”.
2. YAB Menteri Besar menyatakan bahawa hutang kerajaan Negeri kepada pusat naik 20.6% menjadi RM1.01 bilion (2008) berbanding RM842.13 juta (2007) adalah disebabkan oleh pinjaman yang dibuat bagi projek air (RM633.88 juta) dan pinjaman oleh JCorp (RM52.5 juta). Isu pinjaman projek air menurut YAB Menteri Besar dikira selesai kerana diambil alih oleh Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Persoalan disini ialah sejauhmanakah keberkesanan pinjaman yang dibuat untuk bekalan air berbanding negeri-negeri yang lain. Masalah bekalan air yang dihadapi oleh Daerah Kluang dan Batu Pahat yang penggunaan air dicatu setiap kali berlakunya kemarau masih belum dapat diselesaikan. Persoalah kedua ialah perkhidmatan air di negeri Johor telah diswastakan kepada SAJH, milik penuh Ranhill Utilities Berhad. Tetapi kenapa setelah diswastakan, kerajaan Negeri masih dibebankan dengan pinjaman yang besar bagi projek pembekalan air. Sepatutnya SAJH perlu berdikari dan mencari dananya sendiri. Bahkan SAJH masih berhutang dengan kerajaan Negeri sebanyak RM511.82 juta. Apa yang kita bimbangi, pihak yang mengaut keuntungan besar daripada penswastaan ini adalah Ranhill Utilities Bhd. bukannya SAJH, kerana hampir semua projek infrastruktur SAJH adalah dimonopoli oleh Ranhill. Tarif air dinaikkan dan SAJH digunakan sebagai meknisma mengutip wang daripada rakyat untuk memperkayakan Ranhill. |