Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk  rakyat memperlihatkan  kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS,  dari yang  veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.
 
Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden  PAS, Mohamad Sabu,  mewakili suara ulama ialah Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  manakala  suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan   at-Tantawi.
Minggu ini, mereka berbicara mengenai  tawaran Tuan Guru  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak  bertanding di  PRU-13.
Mohamad Sabu
Timbalan Presiden PAS
Tuan Guru Presiden Datuk Seri Abdul Hadi  Awang hanya menunjukkan  sifat tawaduk, yang menjadi ciri terpenting sebagai  seorang pemimpin  Islam. Pangkat dan jawatan bukanlah matlamat perjuangan, ia  sebaliknya  ialah amanah yang berat.
Kepimpinan beliau masih amat diperlukan oleh  parti dan ahli-ahli  PAS. Saya sebagai Timbalan Presiden juga masih memerlukan  kepimpinan  Tuan Guru Presiden untuk terus menerajui PAS ke ambang yang lebih   tinggi.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru  Datuk  Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13   samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa  beliau perlu  bertanding di PRU13. Keputusan tersebut dicapai dalam  mesyuarat lujnah politik  yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat  Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut  akur dengan keputusan tersebut.
Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak   berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin  parti dan  Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13.
PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa  perjuangan Islam  tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.  Walaupun  jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru   Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah   mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.
Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan  Tuan Guru  Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan   Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam  menghadapi  sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan  sebagai pimpinan Muslim  agong abad ini.
Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam  yang  tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang   direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak  meminta  jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan  diri bilamana  jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus  memimpin.
Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Pemuda PAS
Ramai yang salah faham dan tidak cermat mengambil berita  lalu  menganggap kononnya Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang mahu berundur   meninggalkan PAS. Lebih lajak apabila mereka menambah ajinomoto dalam  isu ini  kononnya ini adalah ekoran berlakunya perpecahan dalam PAS.
Walhal Tuan  Guru Haji Abdul Hadi Awang menawar diri untuk  tidak bertanding dalam pilihanraya  umum akan datang dan kalau diberi  pilih, beliau hanya mahu memilih satu kerusi  sahaja berbanding dua  kerusi sebelum ini.
Sudah namanya tawaran maka ia  bukanlah suatu keputusan yang  muktamad. Tawaran itu perlu ada penerimanya  barulah ia menjadi  muktamad. Tawaran itu dibuat kepada parti yang dipimpinnya  dan sehingga  kini parti tidak menerima tawaran tersebut malah PAS telah membuat   keputusan rasminya bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi bukan sahaja mesti  terus  memimpin PAS tetapi juga tidak boleh berundur dari bertanding  dalam pilihanraya  umum yang akan datang.
Saya melihat, apa yang disuarakan oleh Tuan Guru  Haji Abdul Hadi  adalah mempamerkan akhlak Islami yang diwarisi oleh para alim  ulamak di  sepanjang zaman. Jawatan adalah suatu amanah yang berat justeru itu,   ia bukanlah suatu yang direbut dan ditagih.
Tawaran mengundur diri dari  amanah jawatan [ bukan memgundur  diri dari amanah berjuang ] untuk memberi  laluan kepada mereka yang  lebih layak adalah sikap dan sifat yang selayaknya  dimiliki oleh  pejuang Islam. Namun apabila jamaah memutuskan, maka keputusan  jamaah  itu wajar dipatuhi semampu mungkin.
Perkara ini bukanlah menjadi   isu kerana ia perkara biasa bagi pejuang Islam yang kaya peribadi dan  tinggi  akhlak Islamnya. Namun musuh senantiasa mengintai ruang untuk  menambah racun  bisa pada fitnah yang ditebar. Ia sebahagian dari sunnah  perjuangan yang mesti  dihadapi oleh para pejuang dengan tenang dan  tabah, justeru musuh tidak pernah  tinggal diam. Buatlah apa pun, akan  pasti ada pihak yang bertindak  mengeksploitasi kenyataan dan tindakan  pemimpin kita. Lagikan Al Quran musuh  Islam cuba untuk spin dan  mengelirukannya, begitulah semangat musuh yang mahu  memadam cahaya  perjuangan Islam di atas muka bumi ini. Mereka tidak pernah  serik!