Selasa, 3 Ogos 2010

Al Wala' wa Al Bara'

Al Wala' wa Al Bara' :

Siri Pertama :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلا ة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره و واله

1.0 Muqaddimah

Konsep al Wala’ dan al Bara’ perlu difahami malah dihayati oleh setiap individu muslim amnya dan pemimpin Gerakan Islam khasnya. Asasnya ialah untuk meletakkan kita jernih aqidah , tulen ibadah , benar amalan dan jelas fikrah bersama perjuangan Islam yang kita dokong biarpun kita berhadapan dengan apa jua situasi .

2.0 Pengertian Al Wala’ dan Al Bara’

2.1 Pengertian Al Wala’ dari segi bahasa

Berasal daripada perkataan ولى- يلى- وليا ولاية ولاءyang membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan, memberi perlindungan dan sebagainya[1].

2.2 Pengertian Al Bara’ dari segi bahasa

Berasal daripada perkataan برئ- يبرأ- براء براءة yang membawa maksud bebas, peringatan, tajarrud atau berlepas diri[2].

2.3 Pengertian Al Wala’ dari segi istilah
Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Al Wala’ biasa ditakrifkan sebagai meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan yang disertakan dengan sokongan dan bantuan sama ada berbentuk nyata atau tidak.

Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu;

Memberikan kasih-sayang
Memberikan ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin,
Mengormati,
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu,
Memberi kepercayaan,
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan

2.4 Al Bara’ dari segi istilah

Syaikh Muhammad Al Qahtani menyebutkan Al Bara’ adalah[3]:

“Menjauhkan dan mengasingkan diri, bermusuhan setelah memberi peringatan”

Ia juga boleh difahami sebagai, tidak meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan, seterusnya membenci, menamatkan hubungan dan mengadakan permusuhan sama ada berbentuk nyata atau tidak

3.0 Konsep Al Wala’ dan Al Bara’ dalam Jama’ah Islam

3.1 Kepentingan Al Wala’ dan Al Bara’ dalam Jamaah Islam

Wala’ merupakan asas terpenting dalam sesebuah jamaah Islam. Setiap orang yang berada di dalam jamaah tersebut mestilah memberikan wala’ kepada pimpinan kerana tanpa wala’, sesebuah jamaah akan hancur dan mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang akan mengakibatkan matlamat untuk menegakkan agama Allah SWT tinggal angan-angan sahaja. Saidina Umar ada menyatakan:

لا إسلام بلا جماعة ولا جماعة بلا أمير ولا أمير بلا طاعة

Tiada Islam tanpa jama’ah, tiada jama’ah tanpa pemimpin, tiada pemimpin tanpa ketaatan.

Islam mewajibkan penganutnya memberikan wala, ketaatan dan kesetiaan yang sepenuhnya kepada pimpinan dan haram sama sekali menderhaka atau enggan menurut perintah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu[4].

Rasulullah juga menjelaskannya di dalam hadis Baginda:

حدَّثنا مسدَّد حدَّثَنا يحيى بن سعيد عن شعبةَ عن أبي التيّاح عن أَنس بن مالك رضيَ اللَّه عنه قال: قال رسول اللَّه صلى الله عليه وسلم: «اسمعوا وأطيعوا وإنِ استعملَ عليكم عبدٌ حبشيٌّ كأنَّ رأسه زَبيبة».

Dengar dan taatilah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis.[5]

Di dalam kitab النظام السياسى فى الاسلام Doktor Muhammad Abdul Qodir Abu Faris ada menyatakan tentang empat rukun utama kepada siasah atau pemerintahan Islam yang sebenar. Setiap pentadbiran atau kerajaan yang tidak memenuhi ciri-ciri tersebut, tidak boleh dinamakan dengan pentadbiran atau kerajaan Islam.

Rukun tersebut ialah:
  1. الحاكمية لله
  2. العدل والمساواة 
  3. الطاعة 
  4. الشورى

3.2 Syarat-syarat Al Wala’

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Al Wala’ dan Al Bara’ merupakan suatu perkara yang sangat ditekankan oleh Islam. Namun, wala’ kepada pimpinan bukan berbentuk mutlak seperti Al-Wala’ yang diberikan kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Ia perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

1- Pemimpin tersebut hendaklah menjalankan syariat Islam. Mana-mana pemimpin yang menolak hukum Allah SWT, maka haram kita memberikan wala’ kepada mereka. Firman Rabbul Izzati:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik, dan lebih elok pula kesudahannya[6].

Ulamak tafsir menyatakan bahawa perkataan أطيعوا tidak diletakkan sebelum perkataan أولى الأمر kerana tidak semua pemimpin mesti ditaati. Seterusnya mereka menyatakan bahawa sekiranya pemimpin tidak mengikut syariat Islam maka rakyat yang berada di bawah tidak boleh taat dan hendaklah kembali kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.

2- Pemimpin tersebut mestilah memerintah dengan adil dan saksama bertepatan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Maka kita hendaklah berlepas diri (bara’) daripada pemimpin yang zalim, melakukan penyelewengan dan tidak memerintah dengan adil. Kata Khaliq Azza Wa Jalla:

Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat[7].

3- Pemimpin tersebut hendaklah sentiasa menyuruh rakyatnya melakukan kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan maksiat. Ketaatan tidak boleh diberikan kepada pemimpin yang menyuruh atau menggalakkan rakyatnya melakukan maksiat seperti mendirikan pusat-pusat pelacuran, hiburan, judi dan sebagainya.

Imam Muslim meriwayatkan satu kisah yang berlaku kepada utusan Nabi Muhammad S.A.W. yang diperintahkan oleh pemimpin mereka untuk masuk ke dalam api yang dinyalakan:

حدّثنا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَ ابْنُ بَشَّارٍ وَاللَّفْظُ لابْنِ الْمُثَنَّىٰ. قَالاَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ. حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ زُبَيْدٍ عَنْ سَعْدِ بْنِ عُبَيْدَةَ عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَـٰنِ عَنْ عَلِيَ ، أَنَّ رَسُولَ اللّهِ بَعَثَ جَيْشاً وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ رَجُلاً. فَأَوْقَدَ نَاراً. وَقَالَ: ادْخُلُوهَا. فَأَرَادَ نَاسٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا. وَقَالَ الآخَرُونَ: إنَّا قَدْ فَرَرْنَا مِنْهَا. فَذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ فَقَالَ، لِلَّذِينَ أَرَادُوا أَنْ يَدْخُلُوهَا: «لَوْ دَخَلْتُمُوهَا لَمْ تَزَالُوا فِيهَا إلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ» وَقَالَ لِلآخَرِينَ قَوْلاً حَسَناً. وَقَالَ: لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللّهِ. إنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Nabi bersabda kepada golongan yang ingin mentaati perintah tersebut: “Sekiranya kamu masuk ke dalamnya nescaya kamu akan kekal di dalamnya sehingga hari kiamat.” Dan bersabda kepada mereka yang mengingkarinya dengan kata-kata yang baik: “Tiada ketaatan pada maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan hanya kepada yang makruf.”[8]

Al-Imam ِAs-Syahid Hasan Al-Banna ada menyatakan:

"Apabila kerajaan itu dapat menunaikan kewajipan-kewajipan ini dengan sempurna, maka wajiblah ke atas rakyat seluruhnya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepadanya serta memberikan pelbagai pertolongan dengan jiwa raga dan harta benda. Kita juga harus memahami bahawa pemimpin berhak menyuruh orang bawahannya melakukan perkara-perkara yang wajib, sunat dan harus. Manakala dalam masalah khilafiyah, rakyat wajib akur kepada arahan atau ijtihad pimpinan meskipun arahan atau ijtihad tersebut bercanggah dengan pendapat mereka supaya jamaah Islam tetap utuh dan tidak tergolong ke dalam mereka-mereka yang di murkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW".

Sabda Rasulullah SAW:

حدّثنا أبو النُّعمان حدَّثنا حمادُ بن زيدٍ عن الجَعدِ أبي عثمانَ حدَّثني أبو رجاءٍ العُطارديُّ قال: سمعت ابنَ عباسٍ رضي اللَّهُ عنهما عنِ النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: «من رأى من أميرِه شيئاً يكرَهه فلْيصبرْ عليه، فإِنه من فارقَ الجماعةَ شبراً فمات إلا مات مِيتةَ جاهليةً

Sesiapa yang melihat pemimpinnya perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang memecah-belahkan jamaah walaupun sejengkal lalu mati, maka tidaklah matinya itu kecuali mati dalam keadaan jahiliyyah.[9]

Dan sabdanya lagi:

وَأَنَا آمُرُكُمْ بِخَمْسٍ الله أَمَرَنِي بِهِنَّ: السَّمْعِ وَالطَاعَةِ وَالْجِهَاد وَالْهِجْرَةِ وَالْجَمَاعَةِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ قِيْدَ شِبْرٍ، فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الإِسْلاَمِ مِنْ عُنُقِهِ إِلاَّ أَنْ يرَجِعَ. وَمَنْ ادَّعَى دَعْوَى الْجَاهِلِّيةِ، فَإِنَّهُ مِنْ جُثَى جَهَنَّمَ، فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولُ الله وَإِنْ صَلَّى وَصَامَ؟ فَقَالَ وَإِنْ صَلَّى وَصَامَ. فَادْعُوا بِدَعْوَى الله الَّذِي سَمَاكُم المُسْلِمِينَ المُؤْمِنينَ عِبَادَ الله...

“Aku menyuruh kamu dengan lima perkara yang Allah memerintahkan aku dengannya: Dengar, taat, jihad, hijrah dan jama’ah. Sesungguhnya sesiapa yang memecah belahkan jama’ah walau sejengkal, maka ia telah mencabut Islam dari lehernya, kecuali jika dia kembali. Sesiapa yang menyeru dengan seruah jahiliyyah, maka sesungguhnya dia sedang berjengket di atas neraka”. Lalu berkata seorang lelaki: “Wahai Rasulallah, walaupun dia solat dan puasa?” Jawab baginda: “Walaupun dia solat dan puasa. Serulah Allah yang menamakan kamu sekalian Muslimin Mukminin sebagai hamba-hamba Allah.”[10]

Kaedah menyebutkan:

الولاء لأهل الحق والبراء من أهل الباطل

al Wala' bagi ahli Haq ( orang yang perjuangkan kebenaran ) dan al Bara' daripada ahli batil ( orang yang melakukan kebatilan )

Rujukan:

[1] Lihat Ibnu Manzur, Lisanul Arab, jld 3, m.s 985 – 986 dan Alfairuz Abadi, Alqamusul Muhit, jld 4, m.s 294, cet. 3
[2] Ibid, Ibnu Manzur, jld 1, m.s 183, ibid, Alfairuz Abadi, jld 1, m.s 8
[3] Lihat, Al Wala’ Wal Bara’ Fil Islam, m.s 90
[4] Surah An Nisa’ : 59
[5] Sahih Bukhari, jld 6,hadis 6723
[6] Surah An-Nisa : 59
[7] Surah An-Nisa : 58
[8] Sahih Muslim, jld 3, hadis no. 1840
[9] Sahih Bukhari, jld 6, hadis no. 6646
[10] Sunan Tirmizi, jld 8, hadis no. 2941

Sumber: Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Tarikh & Waktu

Pengarah MTD

DUN Kempas
Zulkifli Saleh

DUN Pengkalan Rinting
Mohamad Roslan bin Salleh

Kongsi Bersama

Semakan Daftar Pemilih

Pengikut

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah